Monday, June 25, 2007

KEBOCORAN BANGUNAN KERAJAAN

Saya merupakan rakyat yang bimbang mengenai kebocoran di bangunan kerajaan sejak kebelakangan ini. Siapa yang patut dipersalahkan? Kerajaan? Kontraktor? Pihak-pihak yang terlibat secara langsung dengan pembinaan itu? Setiap kali kes baru dilaporkan mesti ada pihak yang dipersalahkan. Apabila setiap kes hangat dilaporkan, pasti ada perhatian seluruh rakyat Malaysia terhadap kes itu, tetapi itu hanyalah bersesuaian dengan pepatah “hangat-hangat tahi ayam”. Setiap kes yang dilaporkan tidaklah diberi perhatian sehingga diselesaikan.
Oleh itu, dalam hal ini kerajaan perlulah memainkan peranan proaktif. Kerajaan perlulah tegas dalam pendiriannya. Kerajaan perlu membawa kontraktor-kontraktor yang berkenaan ke muka pengadilan supaya kes-kes seperti ini tidak berulang lagi. Boleh kerajaan memberi statistik kes seperti dibawa ke muka pengadilan. Amalan atau boleh dikatakan budaya memberi sub-kontrak kepada pihak lain perlu dihentikan. Budaya ini amat popular di kalangan kontraktor-kontraktor pembinaan bangunan kerajaan. Kerajaan telah pun banyak membantu kontraktor-kontraktor berkenaan dari segi kewangan dan pemberian lesen kontraktor. Oleh sebagai rakyat Malaysia yang amat prihatin terhadap kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi, saya ingin menyuarakan pendapat dan saranan saya terhadap masalah ini. Langkah-langkah itu adalah seperti berikut:-
Satu pasukan khas daripada Kementerian Kerja Raya perlu ditubuhkan untuk memantau perjalanan projek-projek. Kontraktor-kontraktor perlu “update” pasukan ini setiap hari perjalanan projek ini. Laporan ini perlu disimpan untuk tujuan rujukan jika berlaku masalah kelak.
Bahan-bahan yang digunakan untuk pembinaan projek perlu dirunding dengan Kementerian Kerja Raya supaya kualiti bangunan dapat dijamin. Kementerian Kerja Raya perlu melantik pakar-pakar perunding untuk memilih bahan pembinaan dan dalam hal ini kontraktor tidak diberi kuasa untuk membeli bahan binaan. Kontraktor hanya memainkan peranan sebagai pembekal buruh dan pemantau kerja-kerja bangunan.
Kerajaan perlu mengenakan satu polisi yang dikenali sebagai “building warranty”. Polisi “building warranty” ini seperti pihak kontraktor perlu menandatangani satu perjanjian dengan kerajaan bahawa pihak kontraktor bertanggungjawab terhadap apa-apa kesilapan pembinaan bangunan dan akan membaikinya dengan duit atau perbelanjaan kontraktor itu sendiri jika apa-apa kesilapan dikenalpasti dalam masa 3 atau 4 tahun selepas sesuatu bangunan itu dibina. Oleh itu, pihak kontraktor akan lebih bertanggungjawab dalam pembinaan bangunan-bangunan kerajaan.

No comments: